Sejarah Sekolah


SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH KEBANGSAAN FELDA NERAM 1
 
 
 
             Sejarah penubuhan Sekolah Kebangsaan Felda Neram Satu bermula pada tahun 1977 yang berasal dari sebuah bilik stor baja di Felda Neram Satu. Ia merupakan sebuah sekolah kelas bercantum yang mempunyai seramai 150 orang murid. Guru Besar yang pertama berkhidmat di sekolah ini ialah Megat Ayub b. Megat Majid dan tenaga pengajarnya pula seramai 8 orang yang terdiri daripada 7 orang lelaki dan 1 perempuan. Pada tahun tersebut tidak ada jalan tar yang menghubungi Felda Neram satu dengan bandar terdekat, Kuantan begitu juga dengan kawasan sekitarnya. Menjelang tahun 1979, Sekolah Kebangsaan Felda Neram Satu telah di pindahkan ke satu kawasan yang luasnya 4 ekar dan mempunyai bangunan sekolahnya sendiri ( bangunan A sekarang ).

             Sekolah ini juga  dilengkapi dengan padang permainan dan gelanggang badminton serta dikategorikan sekolah gred C. Bilangan pelajar yang begitu ramai dalam masa yang singkat sahaja sekolah ini telah dikategorikan dalam gred A, dengan keramaian murid seramai 825 orang iaitu 393 lelaki dan 432 perempuan. Memandangkan  sekolah ini terletak  di kawasan tanah rancangan, maka pekerjaan mereka adalah sebagai peneroka atau pekerja kilang sawit sehinggalah pada tahun 1990-an ada di antara mereka yang bekerja dalam bidang perindustrian yang terdapat di kawasan sekitar. Sekolah kebangsaan Felda Neram Satu ini terletak di tengah-tengah rancangan Felda yang dikelilingi kampung-kampung yang terdapat di felda ini seperti kg Padang Lalang, Kg Tengah, Kg Seratus dan perumahan pekerja kilang.

             Dari segi fizikal sekolah, semenjak ia dibina pelbagai perubahan fizikal yang berlaku. Setelah berpindah dari stor baja Felda Neram Satu, pada awal pembinaannya sekolah ini hanya mempunyai sebuah bangunan sahaja. Pada tahun 1982, sebuah lagi bangunan di bina bagi menampung kekurangan bilik darjah. Dengan bilangan murid yang bertambah dari tahun ke tahun, dua buah lagi bangunan tambahan telah dibina pada pertengahan tahun1985. Sebuah bangunan lagi bangunan dibina berhampiran blok B mengandungi 3 bilik darjah sementara bangunan yang terletak berhampiran dengan kantin memuatkan  dua bilik darjah. Kedua-dua bangunan tambahan ini siap dibina pada akhir tahun 1985 dan mula digunakan pada awal tahun 1986.

            Pada akhir tahun 1989, projek Pusat Sumber  yang telah tergendala pembinaannya telah di sambung semula dan mula digunakan pada awal tahun 1990 bagi kemudahan guru dan murid untuk membuat rujukan. Bekalan tenaga elektrik juga mula disalurkan di sekolah ini pada awal  tahun 1990 bagi menjamin proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan sempurna kerana sebelum ini kelas- kelas malam yang dijalankan bagi murid tahun 6 dengan menumpang bangunan sekolah agama anjuran yayasan Terengganu yang berada di luar kawasan sekolah. 

            Dari penubuhannya sehinggalah sekarang tahun 2011, seramai 9 orang guru besar telah berkhidmat di sekolah ini dengan mencipta banyak kejayaan dan kecemerlangan  dan bekas-bekas murid sekolah ini juga telah ramai yang menempa kejayaan dalam hidup.